SUNGAI SIPUT: Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kereta dipandu lelaki yang disyaki pengedar dadah dalam kejadian di kawasan perumahan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Salak Baru, di sini, hari ini.

Tindakan itu diambil apabila lelaki tersebut bertindak agresif mengundurkan kenderaan secara melulu sehingga hampir melanggar seorang anggota polis.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu berlaku ketika sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar melakukan serbuan di sebuah banglo.

Menurutnya, anggota polis mengarahkan lelaki itu yang berada dalam kereta Proton Wira agar turun dari kenderaan namun suspek enggan dan cuba melarikan diri.

Bagaimanapun, ujarnya, suspek yang hanya berseorangan di dalam kereta telah bertindak mengundurkan kenderaan itu secara melulu sehingga hampir melanggar seorang anggota.

“Polis kemudiannya melepaskan dua das tembakan ke arah tayar bagi menghalang suspek melarikan diri dan berjaya diberkas kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian selepas kenderaan dipandu terbabas,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Mohd. Khaizam, selain suspek, tiga lagi rakannya turut ditahan dalam serbuan di banglo berkenaan bersama 29.1 gram dadah jenis heroin.

Katanya, siasatan mendapati kesemua suspek berusia lingkungan 40 tahun itu juga mempunyai beberapa rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah.

“Ujian air kencing ke atas suspek dipercayai pengedar dadah itu juga didapati positif,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.