JOHOR BAHRU : Seorang pemandu kereta cuba menikam lehernya menggunakan pemutar skru selepas merempuh seorang pelanggan yang berada di meja makan sebuah restoran di Taman Desa Harmoni, di sini, awal pagi tadi.

Memetik laporanĀ Sinar Harian, anggota bomba terpaksa memujuk pemandu kereta berkenaan yang berusia 40 tahun agar tidak mencederakan dirinya dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Sufian Mohd Lis berkata lapan anggota bersama sebuah jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 4.57 pagi.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta jenis Nissan Almera melanggar seorang lelaki berusia 46 tahun yang berada di meja makan sebuah restoran.

“Kemalangan itu menyebabkan mangsa cedera patah kaki kanan.

“Pemandu kereta pula mengalami kecederaan ringan telah keluar namun dia kembali ke dalam kereta serta cuba menikam lehernya dengan pemutar skru.

“Anggota bomba di lokasi kejadian telah bertindak memujuk pemandu kereta tersebut. Pemandu itu kemudiannya menyerah diri kepada polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sufian berkata, mangsa yang cedera dikenali sebagai Lim Joo Heng dihantar ke hospital bagi menerima rawatan.

“Identiti pemandu belum dikenal pasti. Operasi ditamatkan jam 5.23 pagi tadi,” katanya.