BUKIT MERTAJAM: Mereka curi, kemudian meleraikan komponennya dan buang dalam sungai.

Itu yang dilakukan tiga remaja lelaki yang mencuri motosikal sebelum meleraikannya dan membuang rangka dalam sungai berhampiran taman rekreasi di Jalan Tembikai, di sini.

Bagaimanapun, perbuatan mereka akhirnya terbongkar apabila polis menyerbu sebuah rumah pangsa di Sungai Rambai, semalam yang dijadikan oleh remaja berkenaan sebagai lokasi menyimpan enjin motosikal curi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, dalam serbuan jam 12.30 tengah hari itu, lima anggota polis menyerbu rumah terbabit selepas melakukan risikan dan juga menerima maklumat berhubung kes kecurian sebuah motosikal.

Menurutnya, sebaik tiba, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun mengaku dia pemilik rumah dan anggota polis kemudian memperkenalkan diri dan membuat pemeriksaan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

“Anggota polis dibawa ke sebuah bilik dan ketika itu ada seorang lagi remaja berusia 17 tahun sedang tidur.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui enjin sebuah motosikal yang disembunyikan bawah katil dan semakan nombor casis mendapati ia pernah dilaporkan hilang,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, susulan daripada itu polis berjaya menahan seorang lagi remaja berusia 15 tahun yang yang dipercayai mahir meleraikan enjin motosikal.

“Semua suspek kemudian membawa polis ke sebuah sungai dan hasil pemeriksaan lanjut polis menemui rangka motosikal yang sudah dileraikan dan dibuang.

“Setakat ini, semua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 A (1) Kanun Keseksaan,” katanya – berita hairan