IPOH: Leka memproses air ketum di sebuah rumah, dua lelaki dikejutkan dengan serbuan pasukan polis di kawasan Pasir Putih, di Ipoh pada petang Rabu lalu.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada jam 4.30 petang.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata serbuan dilakukan hasil maklumat dari orang awam yang mencurigai kegiatan suspek di rumah tersebut.

Hasil pemeriksaan telah berjaya merampas 500 botol yang berisi air ketum di dalam tong berwarna oren, dan nilai rampasan air ketum dan daun ketum dianggarkan RM 8,280.

“500 botol yang berisi air ketum di dalam tong-tong berwarna oren berjumlah 750 liter dan sebanyak 78kg daun ketum yang berbungkus dalam empat bag plastik hitam.

“Rumah tersebut dipercayai digunakan sebagai tempat memasak air ketum di mana turut dirampas rumah ialah satu periuk besar, dapur beserta tong gas.

“Siasatan awal mendapati mereka telah menjalankan kerja ini lebih kurang tiga tahun lalu dan memang dikatakan sudah “master” dalam ketum.

“Apa yang saya nak tekankan di sini ialah maklumat ini diterima dari orang awam, mungkin ada jiran yang terbau orang ini masak apa hari-hari,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di bilik mesyuarat IPD Ipoh di sini pada Jumaat.


Katanya, susulan dari tangkapan pertama,polis membuat serbuan kedua iaitu bersebelahan dengan rumah pertama.

Dalam serbuan kedua polis berjaya menahan seorang lagi suspek berusia 49 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek serbuan pertama.

Hasil pemeriksaan di rumah tersebut, polis merampas botol air berisi ketum dari dalam peti sejuk dengan anggaran bernilai RM 450.

A.Asmadi berkata, hasil siasatan awal mendapati penjualan air ketum itu adalah untuk pasaran sekitar Ipoh dan daun ketum diperoleh dari luar daerah.

Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Ipoh untuk siasatan lanjut dan tiga suspek tersebut ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari bermula semalam.

Katanya suspek akan dituduh mengikut seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum denda tidak lebih RM 10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali.