GEORGETOWN: Polis narkotik Bukit Aman dan negeri ini merampas pelbagai dadah bernilai RM8.8 juta dalam lima serbuan berasingan di sekitar daerah Timur Laut dan Barat Daya, Isnin lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan, berkata serbuan pertama dilakukan di Gelugor jam 12 tengah hari dan polis menahan dua lelaki berusia 39 dan 46 tahun.

Menurutnya, dalam serbuan itu polis merampas 8.2 kilogram (kg) syabu dan 2.93 gram heroin base.

“Susulan itu, polis menyerbu sebuah pangsapuri di Jelutong dan merampas 62.45 kg syabu.

“Dalam serbuan ketiga juga di Jelutong, kita merampas 93.2 kg syabu dan serbuan keempat di Sungai Dua kita merampas 734 gram heroin base,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen negeri, hari ini.

Menurutnya, serbuan terakhir dilakukan di Balik Pulau dan polis merampas 18.6 kg ganja.

“Jumlah keseluruhan syabu yang dirampas itu adalah 163.8kg, ganja (18.6kg) dan heroin base (3.67kg).

“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas itu berjumlah RM8.8 juta dan kita turut menyita wang tunai serta kenderaan bernilai RM2.6 juta,” katanya – berita harian