IPOH: UMNO Perak mencabar Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Muhammad Arafat Varisai Mahamad menamakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang didakwa menyokong pembentukan kerajaan baharu di Perak.

Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, alasan yang diberikan Arafat langsung tidak berasas, malah tiada sebarang perbincangan pun dibuat terhadap usaha tersebut.

Beliau berkata, dakwaan itu hanya sekadar spekulasi semata-mata sedangkan pentadbiran kerajaan masih berjalan seperti sedia kala.

“Arafat ni macam Datuk Seri Anwar Ibrahim di pusat, mengaku ada bilangan tapi bila minta bukti, tak boleh nak bagi.

“Kalau betul ada senaraikan nama sebagai bukti, kita tahu ini semua tak berlaku pun dan kita masih bersama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Arafat yang juga ADUN Hulu Kinta yang mendakwa sekurang-kurangnya enam ADUN UMNO sedia menyokong pembentukan kerajaan baharu di Perak susulan usaha Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.

Saarani berkata, kesemua 35 anggota kerajaan kini hanya memberikan tumpuan terhadap soal keperluan dan kebajikan rakyat berbanding berpolitik sepanjang masa.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud turut menegaskan bahawa kerajaan negeri sehingga kini masih utuh.

Menurutnya, dakwaan yang dilemparkan hanyalah sekadar rekaan semata-mata untuk menghangatkan keadaan politik semasa kerana sehingga kini tiada sebarang bukti dikemukakan.

“Saya percaya semua sahabat saya masih menyokong dan mempertahankan kerajaan PN yang ada.

“Kita hanya fokus kepada permasalahan rakyat yang perlu diselesaikan tambahan pula negara sedang dilanda wabak Koronavirus (Covid-19),” ujarnya.

Menurutnya, Arafat sengaja reka cipta kerana mahu menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan rakyat.