IPOH: Semua Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berpendirian dakwaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, kononnya telah mendapat sokongan majoriti di kalangan ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu, sebagai satu lagi gimik politik.

Menurut Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, ia dilihat sebagai percubaan untuk memporak-perandakan kepimpinan negara ketika rakyat semakin yakin dengan kepimpinan Muhyiddin dalam menangani krisis ekonomi dan Covid-19.

Tegasnya, tindakan Anwar juga selaku Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam dilihat seolah-olah cuba mensabotaj ekonomi negara dengan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap kestabilan kerajaan, apabila kenyataan beliau dilaporkan oleh media antarabangsa.

“Sekiranya Datuk Seri Anwar benar-benar mempunyai sokongan majoriti, beliau seharusnya membuktikan dakwaan itu menurut proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Perbuatan ini sama sekali tidak baik kepada ekonomi negara ketika kerajaan sedang memberi tumpuan kepada pelbagai inisiatif untuk meringankan beban rakyat.

“Selain membantu komuniti perniagaan untuk terus kekal berdaya saing dalam tempoh yang amat mencabar ini,”katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ahmad Faizal turut memberi jaminan semua Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Muhyiddin untuk terus menerajui negara.

“Kami menaruh keyakinan penuh kepada kepimpinan Tan Sri Muhyiddin yang telah membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membela nasib rakyat dan menjana semula ekonomi negara akibat Covid-19 sejak enam bulan lalu,”katanya.

Beliau turut menyeru semua rakyat untuk kekal bertenang dan terus memberikan sokongan kepada Perdana Menteri dan kepimpinan kerajaan untuk terus menumpukan segala perhatian kepada urusan pentadbiran negara dalam menangani pandemik Covid-19.