MELAKA : Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew menyifatkan dakwaan ADUN parti itu, Datuk Norhizam Hassan Baktee kononnya beliau menjadi ‘barua’ ketika bersama Pakatan Harapan (PH) sebagai cubaan untuk merebut jawatan dalam kerajaan baharu.

Kok Kiew juga melihat ia sebagai cubaan Timbalan Pengerusi DAP Melaka merangkap EXCO kerajaan negeri itu untuk membuktikan kepada orang Melayu kononnya beliau amat prihatin terhadap nasib mereka.

“Saya sendiri kalau tidak berjaya buat apa-apa untuk rakyat, saya salahkan diri sendiri dan bukannya orang lain,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya, DAP Pusat akan mengambil tindakan tegas terhadap ADUN Pengkalan Batu itu kerana didakwa sanggup mengetepikan perjuangan PH dan semangat setia kawan semata-mata kerana merebut jawatan dalam PN.

Semalam. Norhizam dan ADUN PKR Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis hadir pada sidang media Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Ab Rauf Yusoh mengenai keyakinan Pakatan Nasional membentuk kerajaan negeri yang baharu menggantikan PH.