KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa tindakan penguatkuasaan yang dijalankan oleh organisasi ini adalah bertujuan melemahkan sumber kewangan kumpulan politik tertentu.

LHDNM dalam satu kenyataan memaklumkan, seperti amalan negara lain, sistem pemilihan kes untuk tindakan penguatkuasaan LHDNM adalah berdasarkan kriteria dari sudut kegagalan mematuhi perundangan percukaian semata-mata.

“LHDNM tidak menyimpan maklumat kaum, agama apatah lagi kecenderungan politik individu di dalam pangkalan datanya kerana maklumat sebegini tidak membantu penilaian risiko sesuatu kes.

“Pada masa sama, maklumat individu atau syarikat yang dikenakan tindakan audit dan siasatan juga tidak didedahkan oleh LHDNM kerana tertakluk kepada peruntukan kerahsiaan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, LHDNM amat menitikberatkan pelaksanaan tugas pada tahap profesionalisme dan integriti yang tinggi.

Katanya, LHDNM akan sentiasa memastikan agenda penguatkuasaan yang dilaksanakan menjurus kepada mewujudkan persekitaran yang adil kepada pembayar cukai yang sentiasa patuh dalam melaksanakan tanggungjawab mereka menyumbang untuk pembangunan negara.

-SinarHarian