IPOH : MCA Perak mengajak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji, Chong Zhemin bersama-sama membuat laporan kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaannya kononnya parti itu menyelewengkan RM150 juta peruntukan Hospital Kampar yang dibatalkan.

Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Perak, Low Guo Nan berkata, mereka akan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada Rabu dan pejabat SPRM Perak pada Khamis.

Menurutnya, ADUN Pakatan Harapan itu telah membuat dakwaan tersebut dalam sidang media pada 2 Januari lalu dan disiarkan dalam Facebooknya pada hari yang sama dan di dalam blognya pada keesokan harinya.

“Dalam tuduhannya, beliau berkata, dengan pembatalan projek pembinaan hospital baru Kampar, MCA telah ‘hijack’ peruntukan tersebut.

“Jadi di sini, hari ini, kami MCA Perak dengan ikhlas hatinya menjemput YB turut bersama kami buat laporan tersebut kepada pihak berkenaan,” katanya dalam sidang media di pejabat MCA Perak di sini, pada Isnin.

Guo Nan berkata, surat jemputan itu telah dihantar kepada Zhemin melalui aplikasi Whatsapp dan serahan tangan.

Beliau meminta ADUN Keranji itu membawa bersama-sama bukti yang ada kerana tuduhan pecah amanah itu sangat serius.

“Tapi sebaliknya kalau Chong Zhemin hanya sekadar fitnah yang tiada bukti atau tiada asas tuduhan beliau, dia adalah seorang yang sangat-sangat tidak bertanggungjawab dan kami mengutuk kelakuan sedemikian,” ujarnya.

Katanya, jika wakil rakyat itu tidak dapat hadir, beliau boleh menghantar wakilnya bersama-sama beberapa pemimpin lain yang hadir semasa beliau membuat sidang media.

Guo Nan berkata, pihaknya akan tetap membuat laporan polis dan SPRM walaupun tanpa kehadiran Chong Zhemin.

“Kalau dia tidak hadir, kita minta pihak polis menjemputnya untuk memberi maklumat berhubung dakwaannya itu,” katanya.