IPOH: Dakwaan sesetengah pihak kononnya Terminal Medan Gopeng di sini telah dibuka semula adalah tidak benar.

Paul Yong Choo Kiong

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru negeri, Paul Yong Choo Kiong berkata, bangunan tersebut adalan Bangunan Silveritage Medan Gopeng dan tidak diwartakan sebagai terminal bas ekspres.

Menurutnya, ejen-ejen bas ekspres hanya dibenarkan oleh pemilik bangunan untuk menjual tiket bas sahaja.

“Pengambilan dan penurunan bas tetap perlu dilakukan di Terminal Meru Raya yang sebelum ini dikenali Terminal Amanjaya,” katanya dqlam kenyataan di sini, hari ini.

Baru-baru ini sebuah portal berita menyiarkan laporan kononnya Terminal Bas Ekspres Medan Gopeng akan kembali beroperasi.

Choo Kiong berkata, adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 22(3) Akta (iii) Pengangkutan Awam Darat 2010 sekiranya mana-mana pengendali berlesen bas ekspres gagal untuk mematuhi arahan pengoperasian di Terminal Meru Raya.

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada satu ribu ringgit tetapi tidak lebih daripada lima ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” ujarnya.

Justeru itu, beliau berharap pihak pengendali, pengguna dan ejen tiket bas ekspres tidak keliru sehingga berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.