Oleh: Aida Aziz

Dari jauh sudah kedengaran bunyi tap, tap, tap – tanda buah dam yang digerakkan di atas papan khas atau pemain berjaya ‘makan’ dam pihak lawan.

Suasana di Kelab Dam Aji Perak yang terletak di Kamunting ini tidak pernah sunyi dengan kehadiran pemain dam aji, bukan hanya di Perak tetapi juga serata negeri sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

Bagi anda yang tidak biasa dengan selok belok jalan di sini, lokasi kelab ini berdekatan dengan Pejabat Pos Kamunting dan gerai menjual kuih kasturi yang digemari ramai.

Kalau dahulu, dam aji dianggap aktiviti membuang masa atau hanya mengisi masa lapang di warung-warung kopi dan pondok, tetapi kini tidak lagi, kerana ianya sudah mula dipertandingkan di peringkat yang membanggakan.

Asal Usul Dam Aji

Secara ringkasnya, dam berkembang daripada satu permainan lama yang dipanggil Alquerque, sekitar abad ke-12 orang Perancis merupakan yang pertama menggunakan papan catur untuk bermain permainan ini.

Cara permainannya mudah iaitu setiap buah dam cuma boleh bergerak satu petak secara penjuru sama ada ke kiri atau kanan, sekiranya petak tersebut masih kosong.

Manakala, Haji (buah dam yang telah sampai ke hujung papan sebelah lawan) bergerak dengan cara sama, tetapi boleh pergi seberapa banyak petak yang dikehendaki.

Aktiviti Bertapak Sejak Tahun 60an

Menurut jurucakap Kelab Dam Aji Perak, Azman Ahmad, 61, dari Kampung Klian Pauh, kelab ini sudah bertapak sejak tahun 60an lagi di Kamunting dan dahulunya hanya dijadikan sebagai hobi di masa senggang.

Namun begitu ujarnya, kepentingan kelab ini semakin meluas dan diiktiraf di seluruh negara, sehingga berjaya mengumpulkan ahli dari segenap pelosok negeri, khususnya untuk pertandingan dam aji.

“Dulu tempat kami main dam aji kecil sahaja macam bangsal berdekatan kedai Pak Lazim, waktu itu papan dam pun tidak sebanyak sekarang.

“Sekitar tahun 60an dan 70an kami main sekadar hobi dan tidak lama kemudian timbul idea untuk menubuhkan Persatuan Warisan/ Kebudayaan Anak-Anak Kampung Pinang yang kini ahlinya mencecah lebih 40 orang.

“Mungkin ada sesetengah orang yang berpendapat main dam hanya buang masa, tetapi jika diliihat dari sudut positif sebenarnya ia banyak menguji minda,” katanya.

Uji Minda, Sesuai Untuk Tajamkan Fikiran

Ujar Azman lagi, permainan ini memerlukan strategi daripada pemain khususnya langkah untuk mendapatkan haji atau aji.

“Kutipan yuran hanya RM3 sebulan dan ada juga sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kamunting untuk hidupkan kelab ini.

“Dalam setahun ada dianjurkan pertandingan terbuka dam aji, sebelum ini ramai yang turut serta khususnya dari Johor, Melaka dan Kedah, semenjak COVID-19 aktiviti ini agak kurang.

“Menariknya permainan ini ada strategi, bukan hanya main tolak sahaja dan bagus juga untuk mereka yang sudah bersara dan mahu menggunakan keupayaan otak supaya terus cergas,” katanya.

Hilangkan Stres

Sementara itu, salah seorang pemain Abu Manan, 40, dari Kampung Sungai Relong berkata minat untuk bermain dam aji timbul setelah beberapa kali mengikut rakannya yang juga berkongsi hobi sama.

“Sebenarnya bila selesai kerja dan mahu hilangkan stres, saya akan sekali sekala ke sini main dam aji. Nampak macam senang tapi sebenarnya menguji minda dalam masa sama dapat kawan baru.

“Kami mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan menjarakkan setiap papan dam, dan setiap pemain kena pakai pelitup muka.

“Kalau dulu boleh duduk dan main enam orang untuk satu meja tetapi sekarang hanya empat, uniknya permainan ini kerana kebiasaannya kami akan pilih pasangan pemain yang ‘kena’ dengan diri masing-masing, kata orang baru ada ‘chemistry’,” katanya lagi.