PEKAN: DAP adalah ‘kilang’ fitnah yang mengeluarkan propaganda berita palsu untuk merosak dan memburukkan kepemimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, tindakan itu kemudian menjadi panduan kepada pemimpin dan ahli parti itu untuk menghasilkan cerita dan berita buruk berkaitan BN.

Beliau berkata, perkara itu didedahkan sendiri Penolong Penerbit UbahTV, milik DAP, Amran Ahmad yang juga ahli seumur hidup parti DAP.

“Dia sendiri tidak sanggup lagi untuk menabur fitnah walaupun ia adalah arahan daripada Unit Publisiti DAP. Mereka memang merancang untuk merosakkan kepemimpinan kerajaan BN.

“DAP juga kata kalau undi calon PKR pada 9 Mei ini bererti mengundi parti berkenaan. Ini bermaksud rakyat akan beri kuasa kepada DAP untuk menguasai Putrajaya jika memilih calon PKR pada Rabu ini.

“DAP juga tidak pernah sayang FELDA dan kita tidak boleh bergantung harap untuk memperjuangkan agenda Bumiputera lain seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan menjaga kebajikan peneroka FELDA,” katanya.

Najib yang juga penyandang Parlimen Pekan berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama warga FELDA Gugusan Chini, di Dataran Pusat Tenun FELDA Chini, di sini hari ini.

Lebih 5,000 warga FELDA hadir program itu. Yang turut hadir, calon Barisan Nasional (BN) DUN Chini, Datuk Seri Abu Bakar Harun – berita harian

BERITA BERKENAANTan Chong Motor Labur RM500 Juta