KUALA LUMPUR 19 Ogos – DAP tidak pernah memberi tekanan kepada Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berhubung isu status hak milik tanah 999 tahun atau hak milik kekal kepada kampung-kampung baru seperti dilaporkan.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming memberitahu, sebaliknya, parti itu mempunyai hubungan mesra dengan Ahmad Faizal daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selain saling menghormati dan sentiasa bekerja sebagai satu pasukan.

“DAP Perak akan berdiri teguh bersama Menteri Besar dan memberi sokongan padu kepada kepemimpinan beliau supaya Pakatan Harapan (PH) membawa kesejahteraan hidup serta pembangunan ekonomi pesat kepada seluruh rakyat Perak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan Mingguan Malaysia hari ini yang menyatakan DAP tetap mahu kerajaan negeri Perak menunaikan janji untuk memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada tanah kampung baru seperti terkandung dalam tawaran PH negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kor Ming yang juga merupakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat menzahirkan rasa kesal terhadap laporan tersebut dan merasakan tajuk `Tetap tuntut milik tanah 999 tahun’ seperti disiarkan adalah tidak benar.

Sebaliknya, beliau memberitahu tidak pernah membangkitkan isu hak milik kekal tersebut dan hanya menyatakan PH komited untuk melaksanakan semua janji dalam manifesto.

“Ini adalah kata-kata yang sama dengan ucapan penggulungan Menteri Besar Perak dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini,” ujar beliau .