KUALA LUMPUR : Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki hari ini mendedahkan kronologi dalam krisis kepimpinan negara yang berlaku sekarang dan bagaimana Muafakat Nasional terseret sama pada peringkat awal.

Menurutnya, pada awalnya, blok pembangkang telah dijemput untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan atas nama untuk mempertahankan Islam, Melayu-Bumiputera dan menyelamatkan ekonomi negara.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu berkata, atas dasar tanggungjawab moral, UMNO dan Pas telah menyatakan persetujuan bersyarat iaitu menyertai Kerajaan Perpaduan tanpa DAP dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, katanya, DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Nasional (Amanah) yang pada 21 Februari lalu mendesak Tun Dr. Mahathir Mohamad melepaskan jawatannya tetapi telah membuat u-turn pula untuk kembali menyokong Perdana Menteri interim itu sekarang bagi mengelak berlaku pilihan raya umum.

Disebabkan itu, Mahathir telah memanggil Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membentuk Kerajaan Perpaduan melibatkan semua parti termasuk DAP.

Pembentukan Kerajaan Perpaduan itu juga memberi kuasa penuh kepada Mahathir membentuk kabinet atas nama individu tidak mewakili parti sekali gus menjadikan beliau berkuasa mutlak.

Asyraf berkata, ia menyebabkan UMNO dan Pas semalam memutuskan untuk menolaknya kerana daripada awal mereka telah bersetuju untuk bersama dalam Kerajaan Perpaduan hanya sekiranya tidak melibatkan DAP.

Akhirnya, kata beliau, UMNO, Pas, MCA, MIC dan PBRS membuat kenyataan media mengesyorkan supaya jalan terbaik terhadap krisis politik angkara perbalahan dahsyat dalam kalangan parti-parti PH berebut ‘takhta’ Perdana Menteri tanpa berkesudahan hanya dengan cara menyerahkan kembali mandat kepada rakyat iaitu melalui pilihan raya umum. – MalaysiaGazette