SHAH ALAM – Selepas 15 tahun menunggu, penghuni rumah kos rendah di Subang Perdana U3 dan Bandar Pinggiran Subang dekat sini bakal mendapat bumbung baharu yang mereka perlukan tidak lama lagi.

Rata-rata lebih 8,000 penduduk dari rumah pangsa Taman Subang Perdana 2, rumah pangsa Taman SP3, Pangsa Indah dan Pangsapuri Mentari berhadapan masalah kebocoran bumbung.

Adun Kota Damansara, Halimaton Saadiah Bohan berkata, beliau dan Bahagian Pesuruhjaya Bangunan Majlis Bandaraya Shah Alam akan mengemukakan permintaan penduduk kepada kerajaan.

Beliau yang melawat keempat-empat kawasan itu akan mengemukakan permohonan peruntukan untuk bumbung baharu kepada Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.

Halimaton berkata, lawatan ke rumah kos rendah hari ini adalah susulan daripada saranan Noh agar setiap wakil rakyat Barisan Nasional di Selangor turun ke kawasan bagi mengenal pasti masalah dan bantuan yang boleh disalurkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bersama di kawasan masing-masing.

“Selain masalah bumbung, ada rumah kos rendah yang saya lawat tidak mempunyai tempat pembuangan sampah yang sesuai dan saya akan mengemukakan permohonan untuk mendapatkan peruntukan,” katanya kepada pemberita.

Halimaton yakin kementerian akan menyediakan peruntukan bagi menyelesaikan masalah bumbung bocor dan sebagainya tahun ini.

– Bernama