Oleh: Nazialita Geynna Maharan

TELUK INTAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mendapatkan kerjasama daripada maklumat perisikan bagi menangkap penjenayah yang terlibat dalam kes tembak mati pegawai polis, Allahyarham Sub Inspektor Abu Hashim Ismail pada Jumaat lepas.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya komited untuk memastikan kejadian kes tembak mati ke atas pegawai polis oleh ahli kongsi gelap itu akan diselesaikan segera.

“Buat masa ini, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Ketua Polis Kedah telah mengemaskini maklumat kepada saya.

“Walaupun ada penembak upahan daripada negara di luar Malaysia, dengan kerjasama Mutual Legalized Assistance (MLA) dan kerjasama perkongsian maklumat intelligent (perisikan), kita akan mencari hingga memperolehi, menangkap serta membawa ke mahkamah anggota yang membunuh polis berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Teluk Intan, di Dewan Bandaran Teluk Intan, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, pihaknya sentiasa komited untuk melihat indeks jenayah di Malaysia dapat diturunkan walaupun terdapat risiko yang sentiasa dihadapi oleh pasukan polis negara.

Naib Presiden UMNO itu berkata, Allahyarham Abu Ismail pada ketika itu sedang menghabiskan masa cutinya, namun terkorban di lokasi kejadian berikutan komitmennya sebagai seorang pegawai polis.

“Saya ucapkan takziah kepada isteri, anak-anak dan keluarganya, saya harap keluarga beliau bersabar, PDRM akan membantu bukan sahaja dari segi kelayakan tetapi juga yang terbaik untuk keluarganya,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai kemungkinan suspek yang disyaki dari negara luar untuk mengelakkan hubungan diplomatik antara negara menjadi keruh.

Pada Jumaat, Sub Inspektor Abu Hashim Ismail, 54, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, maut di tempat kejadian selepas terkena 4 daripada 6 tembakan yang dilepaskan ke arahnya di sebuah rumah di Taman Sri Hosba, Changlun, Jitra