TAPAH: Kerajaan akan memperkenalkan dasar-dasar baharu dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), untuk menangani isu kemiskinan di seluruh negara, termasuk di kalangan masyarakat Orang Asli.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapha Mohamed berkata, dasar itu perlu kerana mengikut takrifan baharu, kadar kemiskinan negara berada pada paras 5.6 peratus dan 40 peratus di kalangan Orang AsliMenurutnya, kerajaan perlu ada keberanian untuk menangani masalah itu yang telah diperjuangkan sejak lebih 50 tahun lalu tetapi ia masih menjadi masalah.

“Kita ada miskin bandar, miskin luar bandar, kebanyakannya bumiputera, Orang Asli, India dan Cina pun ada.“Jadi kami di EPU telah mengadakan libat urus untuk kita memperkenalkan dasar-dasar baru bagi memastikan bahawa kemiskinan dapat kita kurangkan,” katanya.

Beliau ditemui selepas Program Seminar Pendapatan Garis Kemiskinan 2019 di Dewan Jelutong, Pusat Rekreasi Kuala Woh, di sini, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan maklum balas yang diperolehi, Unit Perancang Ekonomi (EPU) akan memberi perhatian khusus terhadap pendidikan di kalangan masyarakat Orang Asli yang terdapat sekitar 200,000 di seluruh negara.

“Usaha dilakukan oleh kerajaan untuk Orang Asli sudah banyak tetapi tidak ramai yang berjaya,” ujarnya.

Dalam masa sama, kata Mustapha, perhatian turut diberikan kepada usaha meningkatkan ekonomi kumpulan tersebut melalui usaha memperkasakan eko-pelancongan kerana ia berkait rapat dengan mereka.

Tambahan pula, katanya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah diminta memberi perhatian kepada sektor tersebut.