PUTRAJAYA: Kerajaan akan menggubal satu dasar ekonomi Melayu baharu yang berteraskan pertumbuhan, menjamin kesaksamaan dan perkongsian kemakmuran, bagi mendepani cabaran ekonomi semasa.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata dasar itu akan mencerakinkan semangat inklusiviti dan nilai keadilan yang akan menyumbang kepada kekayaan untuk dikongsi bersama seluruh rakyat Malaysia berkonsepkan ‘shared prosperity’ (perkongsian kemakmuran).

“Saya mendukung komitmen Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menegaskan bahawa Pakatan Harapan (PH) tuntas membela hak dan kepentingan masyarakat Melayu serta Bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamed Azmin berkata dalam menerajui usaha ke arah pemodenan ekonomi berasaskan teknologi terkini dan berdepan cabaran Revolusi Industri 4.0, kementeriannya akan memulakan siri perbincangan dan libat urus bersama pemegang taruh utama dalam sektor ekonomi negara seperti dewan perniagaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan bukan kerajaan (NGO) serta pakar ekonomi.

“Dengan berkat perpaduan rakyat yang rencam untuk menjayakan agenda ini, insya-Allah, ekonomi Malaysia akan kembali gah dan mampu bersaing dalam pasaran global,” katanya.

Selain itu, Mohamed Azmin berkata lawatan kerja beliau ke Kelantan minggu lalu membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh hubungan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam menyuburkan semangat federalisme yang akan melonjakkan ekonomi rakyat terutama masyarakat desa.

“Berangkat daripada usaha ini, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan terus menggembleng usaha untuk mengangkat martabat warga FELDA dan pekebun kecil yang sedang bergelut dengan masalah legasi pentadbiran yang lalu.

“Untuk maksud itu, kerajaan sedang memperhalusi inisiatif baharu yang lebih proaktif demi menjamin kemampanan sektor perladangan dan pertanian, sekali gus meningkatkan pendapatan dan kuasa beli masyarakat desa,” katanya – Berita harian