IPOH, 5 DIS : Kerajaan Negeri Perak telah memperkenalkan Dasar Mineral Negeri Perak selaras dengan matlamat kerajaan untuk menjadikan industri perlombongan mineral sebagai salah satu nadi utama ekonomi di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, dasar itu memberi penekanan kepada pembangunan teknologi moden dan serta pembangunan industri hiliran di Perak.

“Dasar ini akan memberi tumpuan kepada beberapa perkara, antaranya, menyasarkan royalti dengan kenaikan secara berperingkat pada kadar 10 peratus bagi meningkatkan hasil negeri dan memberi manfaat kepada generasi akan datang.

“Kedua, dengan adanya dasar ini, ianya dapat mengelakkan risiko ketirisan hasil dan salah guna kuasa melalui pemakaian sistem khas yang diguna pakai bagi memantau output pengeluaran bahan batu dan mineral.

“Ketiga, menarik pelabur untuk membina pusat pengeluaran dan pemprosesan mineral di negeri ini bagi mengembangkan industri hiliran yang berkaitan serta membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sebelum mengumumkan perletakan jawatan sebagai Menteri Besar Perak di Laman Seri Ridzuan di sini, hari ini.

Ahmad Faizal menambah, setiap projek perlombongan mineral akan disaring menggunakan sistem khas seperti sistem weighbridge, sistem e-doket dan sistem command centre sebagai medium pengawalan dan pemantauan sebelum diluluskan.

Selain itu, Ahmad Faizal memaklumkan, Aktiviti Non-Radioactive Rare Earth Element (NR-REE) telah dimulakan dengan projek rintis di atas sebidang tanah di Daerah Hulu Perak.
Menurut beliau, projek itu melibatkan kerjasama Kementeriaan Tenaga Dan Sumber Asli dan beberapa agensi lain seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Agensi Nuklear Malaysia dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB).

Beliau berharap, dasar mineral tersebut akan dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri seterusnya memberi manfaat kepada rakyat negeri Perak.