KUALA LUMPUR: Maklumat peribadi lebih 200,000 penderma organ di Malaysia dan waris mereka boleh didapati dalam talian lebih setahun lalu, lapor portal teknologi tempatan, Lowyat.net semalam.

Ini kebocoran data kedua terbesar dilaporkan di Malaysia dalam masa 3 bulan. November lalu, pihak berkuasa Malaysia sedang menyiasat dakwaan data peribadi lebih 46 juta pelanggan telefon mudah alih dijual dalam talian, yang mungkin salah satu kebocoran data pelanggan terbesar di Asia.

Fail mengandungi maklumat 220,000 penderma organ bocor dalam talian sejak awal September 2016, lapor Lowyat.net semalam. Sumber itu tidak dapat dikenal pasti.

Data bocor itu termasuk nama, nombor kad pengenalan, kaum, taraf kerakyatan, alamat dan nombor telefon penderma, lapor Lowyat.net.

Data tersebut juga mengandungi maklumat waris penderma organ, menjadikan mangsa kebocoran data itu seramai 440,000 orang.

Berdasarkan maklumat dan skala data tersebut, kebocoran itu mungkin berpunca daripada pangkalan data pusat, kata laporan itu.

Pengawal selia internet, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, pihaknya sedang membantu polis menyiasat kebocoran itu. Polis tidak memberi maklum balas segera.

Vijandren Ramadass, pengasas Lowyat.net memberitahu Reuters, portal itu menemui kebocoran data itu dikongsi di laman perkongsian fail secara percuma.

“Fail itu masih berada dalam talian sekarang. Kami menghantar permintaan terus kepada pengendali laman itu Ahad lalu untuk membuang fail itu, tetapi tidak mendapat sebarang respons,” katanya.

Lowyat.net mendedahkan kebocoran data pengguna telefon mudah alih tahun lepas.

Data 46.2 juta pelanggan itu cukup terperinci sehingga penjenayah boleh mencipta identiti palsu untuk membuat pembelian dalam talian, kata pakar keselamatan siber.

Ia juga mengandungi data peribadi beberapa persatuan perubatan dan sebuah portal pekerjaan.

-msnnews