BUTTERWORTH: Tiga pengarah syarikat pemaju hartanah termasuk seorang bergelar Datuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, hari ini, atas pertuduhan pemalsuan dokumen membabitkan kuota Bumiputera pada 2017.

Tertuduh iaitu Datuk Khor Siang Gin, 49, Thein Ling Yen, 41, dan Tan Siew Feng, 50, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan serentak dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Nizam Zakaria.

Difahamkan, Siang Gin adalah Pengarah Urusan, Ling Yen (Pengarah Bahagian Pemasaran dan Jualan) serta Siew Feng (Pengarah Eksekutif) di syarikat pemaju perumahan berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, semua tertuduh didakwa secara niat bersama cuba menipu Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan cara mengemukakan dokumen perjanjian jual beli palsu bagi mendapatkan pelepasan kuota Bumiputera sebanyak 30 peratus bernilai kira-kira RM1,635,870 untuk Projek Perumahan Alila 2.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang daerah Timur Laut dekat sini pada 8 Mei 2017.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 10 tahun serta boleh didenda.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Selvaranjini, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam M Puravalen dan Oh Choong Ghee.

Nizam membenarkan semua tertuduh diikat jamin RM20,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes – Berita harian