Penerbit drama dan filem, Datuk Yusof Haslam menegur pemain industri hiburan yang lebih suka menghasilkan cerita yang mempunyai nilai komersial sahaja.

Trend tersebut dilihat berlaku sejak beberapa tahun lalu lantas memerlukannya untuk bersuara mengenai perkara tersebut.

“Jangan kita asyik tumpu pada pembikinan cerita klise dan cerita cinta.

“Sekarang ini, pembikin drama boleh buat cerita berdasarkan isu semasa yang berlaku di negara ini,” katanya.

Selain itu, Yusof turut menegur stesen televisyen swasta yang lebih suka menyiarkan cerita yang komersialnya tinggi.

“Kadang-kadang, ini masalah stesen televisyen swasta. Kalau cerita tiada nilai komersial, mereka tidak mahu siarkan cerita tersebut.

“Kalau kita asyik nak berpaksikan nilai komersial, bila kita nak sampaikan mesej berguna kepada masyarakat?

“Jadi, saya rasa peranan stesen televisyen perlu seimbang dan sentiasa berganding bahu dengan pembikin bagi menghasilkan cerita yang bertauladan,” tegasnya.

Yusof berkata begitu ketika ditemui selepas tampil dalam program Assalamualai’kum di ibu pejabat TV AlHijrah, baru-baru ini.