AKIBAT mengambil minuman tanpa kebenaran di dalam peti sejuk, seorang pelajar tahfiz dipukul ustaz dengan penyapu hingga menyebabkan mangsa cedera di bahu dan leher.

Bagaimanapun, tindakan lelaki itu, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Saufi, 22, akhirnya mendapat balasan apabila dia didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, semalam.

 Majistret Atiqah Abd Karim Husaini menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang kini bekerja sebagai pencuci kereta selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah memerintahkannya menjalani hukuman penjara tiga bulan jika dia gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun hingga menyebabkan mangsa cedera di bahu, leher, jari kanan dan lebam di paha.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tahfiz di Batu 13, Jalan Jurutera, Puchong, di sini pada 3.30 petang, 22 April 2016.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat berbentuk pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat umum dengan mengambil kira kecederaan dialami mangsa disebabkan kekerasan yang dilakukan tertuduh melebihi yang sepatutnya dalam mendidik.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan atas alasan dia tidak berniat untuk mencederakan mangsa, apatah lagi membenci remaja itu, selain memaklumkan mahkamah dia hanya memukul dengan niat untuk mendidik.