IPOH: Kes demam Denggi dan Chikungunya yang naik mendadak di bandaraya Ipoh, termasuk di Kampung Kacang Puteh, Buntong boleh menjejaskan industri pelancongan kawasan berkenaan.

Tiga kes Denggi dan 10 kes Chikungunya dalam tempoh dua minggu di kampung yang popular dengan industri kacang puteh itu boleh menjadi semakin serius jika penduduk sendiri mengambil sikap sambil lewa.

Sehubungan itu, Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), S. Jayagopi mahu penduduk mengambil serius wabak itu dan bersama-sama mengambil langkah untuk mengatasinya.

“Mereka hanya perlu luangkan masa 10 minit sehari untuk membersihkan kawasan rumah sendiri, jangan hanya mengharapkan kepada pihak MBI untuk membersihkannya,” katanya kepada media selepas menyertai gotong royong di sekitar kampung tersebut, hari ini.

Program itu diadakan dengan kerjasama MBI, Pejabat Kesihatan Daerah Kinta dan Persatuan Penjual-penjual Kacang Puteh.

Kampung Kacang Puteh adalah antara lolasi wajib dilawati bagi pengunjung-pengunjung luar yang datang ke Ipoh kerana terdapat banyak kedai yang menjual pelbagai jenis kacang, maruku dan kerepek.

Menurut Jayagopi, hujan sejak kebelakangan ini turut menyumbang peningkatan kes, di samping sikap segelintir masyarakat tidak bertanggungjawab yang membuang sampah merata-rata.

Katanya, beliau akan berbincang dengan Persatuan Penjual-penjual Kacang Puteh untuk menubuhkan Jawatakuasa Komunikasi untuk Perubahan Tingkahlaku (COMBI) di kampung tersebut.