KOTA BHARU: Adik kepada wanita orang kurang upaya (OKU) lembam yang ditemui dalam keadaan menyedihkan malam tadi, di sebuah rumah di Taman Pinggiran Industri, Pengkalan Chepa, direman tiga hari oleh mahkamah di sini, hari ini.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen, Tuan Ruzuaini Tuan Lah kepada wanita berusia 40 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik, berkata wanita terbabit direman tiga hari untuk siasatan mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengetahui kejadian sama ada mangsa diabaikan atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jika sabit kesalahan, wanita itu boleh dipenjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

NSTP melaporkan, jeritan dari dapur di rumah di Pengkalan Chepa, di sini, membawa kepada penemuan seorang wanita dalam keadaan tidak bermaya.

Lebih menyayat hati, mangsa berusia 44 tahun yang juga OKU lembam ditemui dalam keadaan lemah dan kotor, malah kawasan lantai wanita itu ditemui dipenuhi najis mangsa.

Jeritan mangsa didengari seorang jiran jam 9.15 malam sebelum bertindak menghubungi polis yang menemui mangsa dalam keadaan terbaring dan berbau hamis serta busuk, berada di bahagian dapur.

Susulan itu, adik mangsa berusia 40 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu untuk soal siasat – berita harian