IPOH: Bagi mereka yang belum pernah menderma darah, mungkin pelbagai persepsi negatif yang mereka dengar sehingga timbul rasa takut dan bimbang untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, bagi mereka yang sudah biasa, ia langsung tidak meninggalkan kesan negatif, malah lebih menyihatkan.

Pesara Malaysia Airport Berhad, Hassan Md Saad, 59, berkata, sejak mula menderma darah pada tahun 1997, beliau melakukannya hampir setiap tiga bulan, menjadikannya 91 kali setakat ini.

“Sejarah arwah bapa saya sakit dulu, dia kemalangan dan perlukan darah, darah dia pun negatif, jadi kebetulan sama dengan darah saya. Bermula dari situlah, saya terniat nak terus bagi sampai hari nilah, ingin membantu semasa manusia,” katanya ketika ditemui di kempen derma darah sempena sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2020 di Surau Al Falah, Taman Song Choon di sini, hari ini.

Kempen dirasmikan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Hassan berkata, walaupun hampir setiap tiga bulan menderma darah, ia langsung tidak memberi kesan kepadanya.

“Sebenarnya tak perlu ditakutkan apa-apapun, bukan sakit sangat pun kan, sekejap sahaja, dalam masa lima atau 10 minit dah selesai.

“Badan kita pun sihat sebab saya sampai hari ni belum pernah masuk hospital lagi, belum pernah warded di hospital, tak ada darah tinggi, tak ada kencing manis, apa pun tak ada,” ujarnya.

Penyelia di sebuah syarikat swasta, Chan Chong Wah, 56 pula berkata, beliau menderma darah hampir setiap empat bulan sekali sejak 2011.

“Sejak 2011, saya sudah derma sebanyak 24 kali, lebih kurang tiap-tiap empat bulan sekali.

“Saya menderma kerana boleh menolong orang dan juga boleh menolong saya sendiri, untuk kesihatan saya,” katanya.

Beliau berharap lebih ramai anak muda untuk menderma darah kerana ia juga naik untuk kesihatan mereka.