KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini mengemukakan pemberitahuan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Batu Sapi, Sabah.

Ia berikutan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong ketika menerima rawatan di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu pada Jumaat lalu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan bahawa SPR perlu mengisi kekosongan luar jangka kerusi tersebut dalam tempoh 60 hari dari tarikh pemberitahuan itu diterima.

“Selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, pihak SPR hendaklah mengisi kekosongan luar jangka Kerusi Parlimen Kawasan P.185 Batu Sapi, Sabah dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan oleh SPR bahawa ada kekosongan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Liew yang merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) sebelum ini menerima rawatan akibat jangkitan kuman di paru-paru.