GEORGETOWN: Pihak berkuasa kini mencari sebuah kontena ‘misteri’, dipercayai mempunyai mangsa yang masih tertimbus dalam kejadian runtuhan tanah di tapak projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus, di sini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohamad Shoki Hamzah, berkata kontena itu dipercayai tertimbus sedalam 20 meter dalam sisa runtuhan tanah di Sektor 2 kawasan pencarian.

Katanya, maklumat berhubung kontena ‘misteri’ itu diterima selepas menerima maklum balas daripada pihak kontraktor dengan bilangan struktur berkenaan adalah sebanyak 13.

“Setakat ini, kerja mengorek kawasan plot yang menunjukkan kedudukan kontena misteri itu sedang giat dijalankan kerana kita percaya terdapat mangsa yang masih tertimbus sama ada di dalam atau berhampiran struktur terbabit.

“Kontena terbabit berada di Sektor 2 dengan kerja penggalian hanya dapat dijalankan hari ini, kerana permukaan lokasi berkenaan sebelum ini dipenuhi dengan takungan air,” katanya pada sidang media di sini, malam ini.

Sehingga kini, seramai tujuh mangsa ditemui maut, manakala tiga cedera dan tiga lagi dikhuatiri tertimbus, selepas terbabit dalam kejadian tanah runtuh, kira-kira jam 1.56 petang, kelmarin.

Projek bernilai RM545 juta itu muncul sebagai laluan alternatif menghubungkan Lebuhraya Thean Teik di Bandar Baru Air Itam ke Lebuh Bukit Jambul itu dijangka siap pada Mac 2020, selepas mengalami kelewatan setahun dari jangkaan asal – berita harian