IPOH– “Kali terakhir dia hubungi ibunya semalam, tapi tiada sebarang perubahan pada dirinya… dia berbual macam biasa,” ujar ibu saudara kepada anggota polis yang ditemui maut dengan kesan tembakan di kepala berhampiran kediamannya di Balai Polis Pekan Baru pada Rabu.

Ibu saudara yang berusia sekitar 40 tahun dan enggan dikenali namanya itu turut menjelaskan anak saudaranya itu akan pulang ke rumah neneknya di Ampang, Kuala Lumpur sekurang-kurangnya sekali dalam masa sebulan.

 

“Dia anak kedua dari lima beradik, dua lelaki termasuk dia dan selebihnya perempuan, dia kerap telefon keluarga bertanya khabar dan akan kongsi apa-apa masalah jika ada.

“Dia juga tiada sebarang perancangan untuk kahwin dalam masa terdekat dan seorang yang fokus pada kerja, kali terakhir dia hubungi ibunya semalam memang tiada sebarang perubahan dalam nada percakapannya,” kata ibu saudara mangsa.

Ibu dan nenek mangsa yang ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, bagaimanapun enggan mengulas lanjut berkenaan insiden tersebut dan masih lagi dalam keadaan terkejut dengan berita tersebut.

Ujarnya lagi, anak saudaranya menjadikan datuknya yang sebelum ini bertugas dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai inspirasi untuk menjadi seorang anggota polis.

Difahamkan mayat akan dibawa ke rumah keluarganya di Kajang dengan diiringi oleh ibu dan kaum keluarga.

Terdahulu, anggota polis berpangkat Lans Koperal itu ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala berhampiran kediamannya di Balai Polis Pekan Baru.

Menurut Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain, mayat anggota polis berusia 29 tahun itu ditemui pada jam 6.15 pagi di tepi rumahnya.

Katanya, anggota terbabit masih belum berkahwin dan baru kembali bertugas di balai polis berkenaan kira-kira dua hari lalu, setelah ditugaskan di jabatan lain.

Razarudin berkata, polis masih menyiasat motif kejadian termasuk sama ada anggota terbabit menembak diri sendiri, tertembak atau ada unsur lain.