JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga Bangladesh maut selepas dilanggar sebuah kereta dalam satu pergaduhan di tapak pembinaan perumahan Taman Kenari, Bukit Siput, Segamat malam tadi.

Dalam kejadian pada jam 10.40 malam itu, rakan senegaranya turut parah akibat ditikam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pergaduhan melibatkan sekumpulan buruh warga Bangladesh dan Indonesia dipercayai berpunca daripada teguran mangsa kepada seorang lelaki warga Indonesia yang bercakap kuat semasa menggunakan telefon hingga mengganggu mereka tidur.

Menurutnya, suspek kemudian memanggil rakan-rakannya untuk menyerang mangsa iaitu seorang daripadanya dilanggar kereta, seorang lagi ditikam dengan pisau pemotong sayur dan seorang lagi dibaling batu di kepala.

“Pergaduhan itu disaksikan orang awam sebelum mereka bertindak menghubungi pihak polis.

“Ketika polis tiba di lokasi kejadian, seorang lelaki warga Bangladesh berusia 30 tahun cedera ditikam, manakala seorang lagi mangsa iaitu lelaki Bangladesh berusia 44 tahun telah meninggal dunia di tempat kejadian akibat dilanggar dengan sebuah kereta,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, polis menahan tujuh lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki warga Myanmar berusia antara 29 hingga 35 tahun.

“Semua suspek ditahan reman selama lima hari sehingga 8 November ini untuk siasatan lanjut.

“Polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Gen 2 yang digunakan dalam kejadian, namun suspek yang memandu kereta itu masih bebas,” katanya.

Katanya, polis masih memburu suspek utama kes itu iaitu seorang lelaki warga Indonesia dengan panggilan Amir berusia lingkungan 25 tahun.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek atau maklumat berkaitan diminta menghubungi 07-9312222 atau 019-6507299 bagi membantu siasatan,” katanya.