ALOR SETAR: Tindakan seorang wanita yang kerap mencuri masuk ke rumah jirannya yang berstatus duda akhirnya membongkar kegiatan maksiat dilakukan mereka.

Ia susulan penangkapan pasangan itu oleh sepasukan anggota Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) dalam serbuan jam 10.30 malam tadi di sebuah rumah flat di Jalan Langgar, di sini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib, berkata ketika serbuan dilakukan, wanita masih berstatus isteri orang berusia 43 tahun dan pasangannya yang juga berusia 43 tahun didapati berdua-duaan dalam rumah berkenaan.

Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati, pasangan itu gagal menunjukkan sebarang hubungan mahram atau suami isteri menyebabkan mereka ditahan.

“Wanita itu dikatakan sanggup meninggalkan dua anaknya berusia lima dan 15 tahun dalam rumah sebelum menyelinap masuk ke rumah bersebelahan.

“Siasatan juga mendapati, wanita itu berhadapan masalah rumah tangga menyebabkan dia berpindah ke kawasan rumah flat berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Radzi berkata, lelaki itu bekerja sebagai pemandu lori manakala wanita itu seorang peniaga.

Mereka ditahan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Pasangan itu kemudian dibebaskan selepas diambil keterangan sementara menunggu proses perbicaraan di mahkamah. – BH