KUALA LUMPUR : Harga runcit petrol RON95 turun 7 sen seliter bermula tengah malam ini dari RM1.89 seliter kepada RM1.82 seliter.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan hari ini juga mengumumkan bahawa RON97 turun 9 sen, menjadikan harga bahan api itu RM2.10 seliter.

Harga runcit diesel juga turun sebanyak 9 sen seliter kepada RM1.87 seliter.

Kementerian kewangan berkata penetapan itu berdasarkan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism (APM).

“Ketidaktentuan harga minyak mentah dunia pada masa ini dipengaruhi oleh ketidaksefahaman pengeluaran antara negara-negara pengeluar minyak utama dunia serta wabak Covid-19 yang memberi kesan kepada ekonomi global.

“Sebagai langkah untuk menstabilkan turun naik harga minyak kepada pengguna dan pada masa yang sama untuk mengimbangi ketidaktentuan hasil minyak kepada kerajaan, harga runcit bagi kedua-dua produk petrol RON95 dan diesel diturunkan masing-masing kepada paras RM1.82 seliter dan RM1.87 seliter.

“Di samping itu, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara terutama dalam menangani peningkatan kos sara hidup kesan daripada kenaikan harga,” kata kementerian itu.