IPOH: Kerajaan negeri Perak melalui Digital Perak Coorperation Holdings (Digital Perak) menjalinkan kerjasama dengan Fakuliti Multimedia Kreatif, Multimedia Universiti (MMU), Cyberjaya bagi meneroka bidang multimedia kreatif dan solusi digital.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hadir bagi menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) tersebut antara pihak Digital Perak dan MMU.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak, Meor Rezal Fitri Meor Redwan dan wakil MMU, Profesor Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud.

Jalinan kerjasama yang dimeterai ini membabitkan penyelidikan bersama dan perundingan kepakaran, khususnya dalam projek realiti maya serta penempatan latihan industri pelajar berteraskan bidang tersebut bagi tempoh dua tahun.

MMU yang berstatus ‘Premier Digital Tech University’ dan salah sebuah universiti peneraju dalam bidang pendidikan ICT merupakan rakan sinergi bagi Digital Perak dalam kedua-dua jalinan kerjasama strategik.

Ia bagi memenuhi keperluan semasa Revolusi Industri 4.0 untuk mencapai matlamat penyelidikan dan projek berimpak serta penyelidikan untuk meningkatkan kepakaran dalam ekonomi digital.