PENJUAL sayur dari Kinarut dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM7,000 kerana memberi anjing peliharaannya makan 32 jarum jahitan.

Latifah @ Hilda Dusin, 53, mengaku bersalah selepas pertuduhan mengikut En 18 (1) (e) Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Ainul Shahrin Mohamed.

Mahkamah turut menetapkan penjara tujuh hari jika tertuduh gagal menjelaskan denda.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pada 19 Januari tahun lalu, anjing hitam milik tertuduh telah menggigit tangan dan badan anak lelakinya menyebabkan parah kepada kanak-kanak itu.

Sehari sebelum itu, anjing terbabit menggigit anak perempuan Latifah namun tidak serius.

Dia kemudian memberi haiwan itu makanan berisi jarum jahitan sebelum memberitahu kepada anak perempuannya yang berada di Sandakan.

Anak tertuduh kemudian memaklumkan perkara itu kepada Persatuan Pencegahan Kekejaman Haiwan (SPCA), seterusnya menyebabkan Latifah ditahan.

Tertuduh yang juga ibu tunggal dalam rayuannya berkata, dia merayu hukuman ringan kerana berpendapatan rendah dan menyara persekolahan anak-anaknya.

“Jika saya dipenjara, tiada siapa yang akan menjaga anak-anak saya. Ini juga kesalahan pertama saya dan ia dilakukan untuk melindungi anak-anak saya,” katanya.

Pendakwaan kes dikendalikan Dr Zul Bahar Abdul Rashid dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.