KUALA KURAU – Kerajaan negeri bercadang mengambil inisiatif memindahkan lebih kurang 50 pemilik tanah bergeran di Kampung Tersusun Parit Sungai Melan ke penempatan rancangan kampung tersusun baharu di Kuala Bagan Tiang, Parit Buntar pada masa hadapan.

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, cadangan itu dikemukakan susulan majoriti pemilik tanah bergeran penempatan kampung tersusun itu menghadapi kesukaran membina penempatan di tanah kurniaan kerajaan negeri itu sejak tahun 2008.

Menurutnya, sebahagian besar tanah lot bergeran dikurniakan kepada penduduk terpilih sering ditenggalami air laut dan memerlukan kos penambakan tanah sangat tinggi.

“Kerajaan negeri melihat kos membina benteng menyekat air laut memasuki kawasan penempatan penduduk di Kampung Parit Sungai Melan amat tinggi, selain isu sukatan tanah lot rumah bertindih turut menyumbangkan kepada kesukaran mencari jalan penyelesaian berikutan terdapat juga sebahagian rumah penduduk sudah dibina mengalami masalah sukatan lot tanah bertindih dengan pemilik lain.

“Kita lihat hanya inisiatif memindahkan mereka ke lokasi penempatan kampung tersusun di Kuala Bagan Tiang adalah jalan terbaik dan saya berharap muafakat penduduk terlibat, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kerian dan penduduk Kuala Bagan Tiang akan dicapai bagi menjayakan agenda itu,” katanya dalam sidang media selepas meninjau masalah banjir di Taman Kurau dan pekan Kuala Kurau di sini, hari ini.

Abdul Yunus yang juga Adun Kuala Kurau berkata, inisiatif pemindahan penduduk itu dijangka tidak menjejaskan sumber pendapatan dan kerja seharian mereka kerana jarak antara dua kawasan itu dekat di samping penempatan kampung tersusun baharu sedang dipersiapkan dengan kemudahan infrastruktur.

“Kerajaan negeri juga boleh mengambil balik kawasan penempatan asal Kampung Tersusun Parit Sungai Melan untuk dibangunkan sebagai kawasan pelancongan yang dapat menjana pendapatan bagi industri pelancongan di daerah ini.

“Apabila disentuh juga soal pemberian geran tanah kurniaan kerajaan negeri kepada penduduk, kerajaan negeri juga komited memberikan kemudahan berkenaan kepada semua kaum tanpa mengamalkan sikap pilih kasih,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Yunus mengumumkan kerajaan negeri akan membina dua pintu air secara manual bagi menangani masalah banjir akibat hujan lebat dan air laut pasang di Taman Kurau dan pekan Kuala Kurau di Kuala Kurau tahun depan.

Menurutnya, pembinaan pintu air itu membabitkan kos bawah RM10,000 setiap satu untuk memudahkan air mengalir keluar ke Sungai Kurau dan mengelak air laut pasang dari memasuki kedua-dua kawasan tersebut.

“Selain itu, tembok tebing sepanjang 30 meter sedia ada juga akan ditinggikan di pekan Kuala Kurau bagi memastikan air laut pasang tidak melimpah ke pekan Kuala Kurau.

“Saya percaya dengan pelaksanaan projek berkenaan masalah banjir dan air laut pasang dapat ditangani demi keselesaan dan mengurangkan kerosakan àkibat banjir kepada penduduk di sini,” katanya – sinar