JEMPOL: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara tiga bulan di Mahkamah Majistret Bahau di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan bapanya yang enggan meminjamkan telefon bimbit kepadanya pada 1 September lalu.

Tertuduh Mohd Rafi Rahman, 31, mengaku bersalah di hadapan Majistret Majistret Khir Nizam Jemari, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut kertas pertuduhan, pada jam 11 pagi 1 September lalu, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Rahman Satar, 68, dengan cara menumbuk di bahagian bahu dengan tangan.

Justeru, dia didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan akta sama.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh mahu meminjam telefon bimbit bapanya namun mangsa tidak mahu memberi kepada tertuduh menyebabkan berlaku selisih faham sebelum tertuduh menumbuk bapanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Berita Harian