IPOH: Kerajaan negeri Perak memberi jaminan akan meluluskan semua permohonan pembaharuan tempoh pajakan tanah kepada semua pemohon, termasuk penduduk Kampung Baru.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, kerajaan negeri komited untuk memastikan rakyat akan terus memiliki dan dapat mewariskan tanah-tanah itu kepada generasi akan datang.

Menurut beliau, kerajaan negeri sentiasa mengambil perhatian terhadap kesejahteraan hidup masyarakat sama ada di bandar atau luar bandar, termasuk penduduk Kampung Baru.

“Tiada satu pun permohonan pembaharuan tempoh pajakan yang ditolak kerajaan negeri tanpa alasan kukuh,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hak milik bagi kelulusan permohonan pembaharuan tempoh pajakan Kampung Baru di Mukim Hulu Kinta, daerah Kinta, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Tanah dan Galian negeri, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud dan Pegawai Daerah Kinta, Halizah Sipun.

Pada majlis itu, seramai 94 penduduk dari 13 Kampung Baru sekitar daerah Kinta menerima geran pembaharuan pajakan tanah selama 99 tahun.

Ahmad Faizal berkata, tempoh pegangan baharu yang dikekalkan adalah 99 tahun dan ia berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Tanah Negara ke-66 pada 1 Disember 2010 serta keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) pada 4 Mei 2011.

“Sebanyak 711 permohonan memperbaharui tempoh pajakan Kampung Baru dalam mukim Hulu Kinta yang diterima dan diproses bagi 2016 hingga 2018 dan daripada jumlah itu, 211 sudah dikeluarkan hak milik termasuk 94 hak milik pada hari ini.

Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri juga komited dalam meringankan beban rakyat dan ini dibuktikan dengan pemberian 80 peratus diskaun daripada kadar premium tanah pajakan yang dikenakan.

“Diskaun ini bukan sahaja diberikan kepada penduduk Kampung Baru tetapi juga pemilik tanah lesen pendudukan sementara (TOL) iaitu kira-kira 3,000 pemohon,” katanya.

Beliau memberitahu, dengan diskaun itu, pemohon hanya perlu membayar premium serendah RM6,000 hingga RM12,000 mengikut keluasan dan lokasi tanah berbanding kadar RM30,000 hingga RM60,000 jika tanpa diskaun.

Mengenai isu hak milik tanah 999 tahun seperti terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan Perak, beliau menyerahkannya kepada kerajaan Persekutuan dan akan menuruti apa juga keputusan yang ditetapkan nanti.