SLIM RIVER – Seorang lelaki berusia 38 tahun ditahan kerana memiliki dua pucuk pistol angin di Kilometer 102 Jalan Persekutuan Ipoh- Kuala Lumpur, di sini, kira-kira jam 11.30 malam kelmarin.

Hasil pemeriksaan ke atas kereta Hyundai Sonata itu juga turut menemui 60 butir ball bearing besi, 100 butir ball bearing plastik dan lima gas chamber pistol angin yang disimpan dalam sebuah beg.

Ketua Polis Daerah Mualim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pemeriksaan lanjut turut menemui sepucuk pistol angin di tempat letak kaki di bahagian penumpang.

“Turut ditemui ball bearing dan tiga gas chamber kecil untuk pistol angin.

“Berikutan itu, lelaki yang beralamat dari Chemor ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, senjata tersimpan dalam keretanya itu digunakan untuk perlindungan.

“Polis akan meneruskan siasatan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,” katanya.

-Sinarharian