BAGAN DATUK: Penyanyi lagenda, Datuk M. Daud Kilau memohon para peminat mendoakan beliau yang berhadapan dengan masalah kesihatan sejak empat tahun lalu.

Dalam masa sama, beliau turut mendoakan agar para peminatnya sentiasa berada di dalam kesihatan yang baik.

“Saya doakan semua panjang umur dan murah rezeki, doakan juga Daud Kilau lekas baik.

“Kalau tak baik tidak apa (tapi) kalau saya ‘pergi’, doakan selamat pergi dan sedekahkan Al-Fatihah,” kata penyanyi yang mendapat jolokan Raja Gelek Malaysia.

Penyanyi berusia 82 tahun itu yang mengidap kencing manis kini sudah tidak boleh berdiri lama, kebas tangan dan kaki kaki di samping sakit pinggang, kurang pendengaran selain keadaan jantung yang tidak stabil.

Menurutnya, sejak sakit beliau tidak dapat penuhi jemputan untuk mengadakan persembahan di dalam dan luar negara.

“Hendak berjalan pun sudah tidak lalu sangat, solat juga atas bangku. Saya bergantung dengan ubat, dua tiga bulan sekali akan ke Klinik Kesihatan Bagan Datuk untuk pemeriksaan kesihatan.

“Saya kini banyak menghabiskan masa dan sisa hidup mencari saham akhirat,” katanya ketika ditemui pada ziarah Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin di rumahnya di Kampung Sungai Balai Baruh, dekat sini, hari ini.

Sempena lawatan itu, M Daud Kilau turut menerima bantuan awal daripada kerajaan negeri.

Penyanyi yang popular dengan lagu Che Mek Molek itu kini tinggal bersama isteri, Datin Rohani Awang Ngah, 63, dan anak lelakinya.

Mengakui masih rindu untuk beraksi di pentas sambil menggayakan baju-baju yang penuh dengan labuci, beliau bersedia memenuhi jemputan sekiranya kesihatannya mengizinkan.

“Saya sayang dan merindui peminat saya. Kalau kesihatan sudah baik, Insya Allah akan memenuhi undangan dan bertemu mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Akmal berkata, kerajaan negeri melalui agensi berkaitan akan melihat bantuan yang bersesuaian untuk penyanyi veteran itu.

“Kita prihatin dengan keadaan kesihatan Datuk M Daud Kilau yang uzur ketika ini dan Baitulmal akan membuat pemeriksaan lanjut untuk melihat bentuk bantuan yang akan disalurkan nanti,” katanya.