PUTRAJAYA- Akhirnya Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) bersetuju pelajaran tulisan Jawi di sekolah bukan bermotifkan Islamisasi kepada mana-mana pelajar bukan Islam.

Ia adalah sebahagian daripada warisan budaya bangsa Malaysia seperti kaligrafi Cina, tulisan Tamil dan etnik-etnik lain.

Justeru, setiap warisan itu termasuk Jawi perlu dihormati oleh semua pihak.

Ini dinyatakannya dalam satu kenyataan bersama Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong); Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong); Merdeka University Bhd.; Persekutuan Persatuan-Persatuan Alumni Sekolah China Malaysia; LLG Cultural Development Centre; The Federation of Alumni Association of Taiwan Universities, Malaysia;  The Association of Graduates From Universities and Collages of China Malaysia; Majlis Bahasa Cina Malaysia; Education Welfare Research Foundation; Global Organization of People of Indian Origin; Child Information Learning Development Centre dan Jabatan Perdana Menteri selepas mengadakan pertemuan selama sejam setengah bersama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusuff Rawa.

Dalam kenyataan yang dibacakan Mujahid itu, kesemua pihak juga bersetuju dengan empat perkara asas yang lain termasuk Dong Jia Zong tidak pernah menentang pembelajaran Jawi sebaliknya hanya menentang kaedah pelaksanaannya yang mana perkara tersebut memerlukan perbincangan konstruktif oleh semua pihak.

“Perlu diingatkan ini bukan kenyataan saya seorang. Ini adalah kenyataan kami bersama hasil kesepakatan yang telah dicapai selepas mengadakan pertemuan selama sejam setengah.

“Memandangkan kepada peningkatan budaya yang merosakkan ini, adalah wajar inisiatif meredakan ketegangan dilakukan demi memelihara kepentingan Perpaduan Nasional supaya kekal utuh dan kukuh.

“Menyedari betapa pentingnya mesej kedamaian dan keharmonian disampaikan pada saat kritikal ini, perbincangan kami dengan wakil pelbagai pertubuhan telah bersetuju atas beberapa perkara fundamental dalam memahami isu-isu perkauman yang membimbangkan majoriti rakyat hari ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil daripada 12 persatuan terbabit di sini hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Ng Chai Heng berkata, ada kalangan ibu bapa memberitahu mereka bimbang pembelajaran Jawi akan membawa pengaruh Islamisasi kepada anak-anak mereka.

Katanya, masyarakat umum khususnya kaum Cina di negara ini dilihat menolak pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) adalah disebabkan ‘fear factor’ .

Mujahid ketika menjawab soalan media berkata, pertemuan itu tidak bermakna isu pelajaran Jawi telah selesai kerana ia bukan berada di bawah bidang kuasa beliau.

Bagaimanapun, kesemua perkara yang dibangkitkan dalam mesyuarat tadi termasuk isu-isu terknikal akan dibawa ke pengetahuan kabinet.

Apa yang dilakukan oleh beliau katanya hanyalah untuk memastikan isu pelajaran Jawi di sekolah rendah tidak merebak menjadi ancaman kepada perpaduan di dalam Malaysia.

“Kita melihat kepada kerangka yang lebih besar supaya isu ini tidak merebak menjadi ancaman kepada perpaduan yang lebih besar kepada negara kita.

“Jawapannya mudah kerana saya tidak ada kuasa untuk menentukan isu ini kerana saya hanya menjaga nilai yang saya bawa dalam pentadbiran saya.

“Saya tiada kapasiti atau kuasa untuk membuat keputusan,” katanya lagi.

Berikut adalah lima persetujuan yang telah dicapai oleh kerajaan dan 12 persatuan yang hadir dalam mesyuarat hari ini berhubung perpaduan:-

1.Kami bersetuju semua pihak perlu meredakan ketegangan dalam isu yang menyinggung sensitiviti mana-mana pihak melalui pendekatan penuh berhikmah dan bijaksana. Suasana ini amat penting agar pihak yang menangguk di air keruh selama ini tidak akan berpeluang mengeksploitasikan keadaan untuk agenda sempit

2. Kami juga bersetuju bahawa tidak timbul isu Dong Jiao Zong menentang pembelajaran Jawi. Isu yang dibangkitkan adalah kaedah perlaksanaan pembelajaran yang memerlukan perbincangan secara konstruktif oleh semua

3. Perbincangan sebentar tadi juga mencapai persetujuan bahawa pembelajaran Jawi tidak bermotifkan Islamisasi kepada mana-mana pelajar bukan Islam. Malah kami bersetuju bahawa Jawi adalah sebahagian daripada warisan budaya negara bangsa yang perlu dihormati oleh semua.

4. Kami juga bersepakat bahawa agenda rasis yang bakal meruntuhkan keharmonian masyarakat berbagai kaum dan bangsa perlu ditentang bersama secara kolektif supaya tidak ada budaya kebencian sesama rakyat

5. Kita juga bersetuju bahawa mana-mana pihak yang dipertikaikan bersedia untuk berdialog dan terbuka untuk menerima sebarang – MalaysiaGazette