KUALA LUMPUR : Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) harus menghormati keputusan Kabinet membenarkan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata justeru pertubuhan itu diminta tidak meneruskan hasrat menganjurkan kongres bagi membantah perkara berkenaan pada akhir bulan ini.

“Saya rasa kita sudah mencari jalan kompromi serta jalan tengah kerana perkara ini dibincangkan begitu panjang dalam Kabinet dan kita sudah mencapai kata sepakat atau konsensus.

“Perkara ini harus dihormati,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Hero Muda eUsahawan 2019 di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Semalam ketika mengulas berhubung penganjuran kongres itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, memberi amaran bahawa tindakan berkenaan boleh mencetuskan kekacauan dan tindak balas daripada orang Melayu.

Sebelum ini, Dong Jiao Zong dilaporkan menggesa pertubuhan Cina lain di Malaysia supaya mendaftar untuk menghadiri kongres itu yang dijadualkan berlangsung di Kolej New Era, Kajang, 28 Disember ini.

Ketika ini, Syed Saddiq berkata, adalah penting untuk kerajaan lebih memfokus isu membabitkan kepentingan rakyat, iaitu ekonomi, kos sara hidup, perumahan dan pekerjaan.

“Paling penting, kita perlu memandang ke depan kerana ada empat isu utama yang rakyat Malaysia mahukan membabitkan ekonomi, kos sara hidup, perumahan dan pekerjaan. Tolong fokus empat perkara ini kerana ia paling mustahak,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, program Hero Muda eUsahawan 2019 berjaya melatih seramai 20,653 anak muda di seluruh negara membabitkan nilai jualan keseluruhan sebanyak RM52.4 juta.

Melalui platform itu, katanya, anak muda dilatih menjadi usahawan, khusus dalam bidang digital, dengan cara mempromosikan produk menggunakan teknologi tinggi dalam dunia globalisasi.

“Kita berharap program dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan serta Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) ini boleh ditambah baik dan dikongsi manfaatnya di seluruh negara,” katanya.

Sejak dilancarkan pada 2015, program itu berjaya melatih seramai 328,948 usahawan mikro di seluruh negara dengan transaksi jualan melebihi RM668 juta.