KAJANG : Kesemua 17 Persatuan Cina Persekutuan antaranya Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan polis yang memohon perintah mahkamah melarang penganjuran kongres berkaitan tulisan Jawi di Kolej New Era.

Menurut setiausahanya, Ng Chai Heng pihaknya melahirkan rasa tidak puas hati atas alasan polis kononnya persidangan yang dirancang mereka itu mengganggu ketenteraman awam dan mendatangkan bahaya kepada masyarakat.

“Pihak polis seharusnya mengambil tindakan terhadap  individu dan kumpulan yang sengaja mengancam dan mengganggu Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Cina dijalankan secara aman.

“Ini merupakan tanggungjawab polis dan bukannya menyalahgunakan prosedur kehakiman yang telah merampas kebebasan bersuara kami sebagai penganjur yang mematuhi undang-undang,” katanya dalam satu sidang media di sebuah restoran di Kajang hari ini.

Sidang media itu dibuat selepas polis tidak membenarkan pihaknya mengadakan Kongres Jawi di Kolej New Era atas faktor keselamatan.

Polis petang semalam berkata mendapatkan arahan mahkamah bagi menghalang Dong Zong membuat sebarang kongres di premis mereka hari ini.

Chai Heng mendakwa kongres yang hendak diadakan hari ini bukan sahaja telah mendapat sokongan dari masyarakat Cina tetapi juga disertai oleh masyarakat India, ahli akademik kaum Melayu serta wakil-wakil  dari Sabah dan Sarawak.

Malah katanya, sehingga semalam, sebanyak 1,118 buah SJKC dan pertubuhan Cina telah menyatakan sokongan kepada persidangan yang sama.

“Persidangan ini sememangnya akan dijalankan secara aman dan rasional, kami juga menyeru semua peserta harus mematuhi prinsip ini.

“Persidangan ini langsung tidak seperti perhimpunan pihak lain yang sengaja mencetuskan sentimen perkauman dan menjejaskan keharmonian negara,” katanya.

Himpunan anti Kongres Jawi yang dijadualkan diadakan di perkarangan Kolej New Era tidak berlangsung seperti dirancang apabila Dong Zong diperintahkan untuk tidak menganjurkan kongres itu oleh mahkamah.

Keadaan tenang direkodkan sehingga jam 1 petang tadi dengan para pegawai polis sudah pun meninggalkan perkarangan bangunan itu.

Malah jalan di sekitar kawasan itu juga sudah dibuka semula kepada umum.