IPOH: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak mahu bekerjasama dengan rakan usahawan dari Uganda, sebuah negara di tengah-tengah Benua Afrika.

Yang Dipertuanya, Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah berkata, pihaknya telah memulakan usaha itu dengan mengadakan perbincangan dengan Pesuruhjaya Tinggi Uganda ke Malaysia, Dorothy Samali Hyuha.

Menurut beliau, sebagai permulaan, kedua-dua belah pihak bersetuju pada dasarnya untuk mewujudkan sebuah badan atau organisasi persahabatan antara kedua-dua belah pihak.

“Ekoran perjumpaan ini, kami akan mengadakan langkah susulan bagi merealisasikan apa yang telah dibincangkan di dalam perjumpaan kami,” katanya kepada Suara Perak selepas perjumpaan itu di sini, hari ini.

Ketika berjumpaan itu, Dorothy Samali Hyuha telah memberi taklimat mengenai peluang yang boleh diceburi oleh usahawan Perak kerana Uganda merupakan antara pengeluar utama kopi, teh, koko, daging dan mineral.

Pengurus Penggalakkan Pelaburan Perak, Ahmad Amzar Khairun Anuar pula memberi taklimat mengenai peluang pelaburan di negeri ink di samping insentif-insentif yang ditawarkan.

Beberapa ahli DPPM Perak turut memberi penerangan mengenai produk dan perkhidmatan masing-masing yang boleh dipertimbangkan untuk dipasarkan di Uganda.

Dorothy Samali Hyuha menyifatkan perjumpaan itu sangat bermanfaat dan menyatakan kesediaan untuk mengatur pertemuan antara usahawan Perak dengan kementerian yang berkaitan dan persatuan perniagaan di negaranya.

BERITA BERKENAAN : PPNP Cungkil Potensi Anak Perak Dalam Bidang Pertanian

1/2