PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bersama 5 pemimpin PPBM lain yang “terhenti” keahlian memfailkan tuntutan untuk membatalkan pemberhentian itu.

Mereka menamakan Presiden Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Hamzah Zainuddin, Setiausaha Kerja Muhammad Suhaimi Yahya, dan Pendaftar Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Masyati Abang Ibrahim sebagai defendan dalam tindakan sivil itu.

Peguam Haniff Khatri Abdullah yang mewakili mereka berkata penyata tuntutan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Mereka berhujah keputusan untuk memberhentikan keahlian mereka bukan keputusan sah mana-mana pihak sah yang diberikan kuasa oleh parti menurut perlembagaanya.