PETALING JAYA : Bekas setiausaha politik Anwar Ibrahim, Ezam Mohd Nor menggesa Dr Mahathir Mohamad “berhenti bermain kuasa” dan menetapkan hala tuju jelas untuk peralihan kuasa kepada presiden PKR itu.

Beliau turut menggesa Mahathir mendahulukan kepentingan negara kerana pelabur juga mahu melihat perancangan jelas untuk peralihan kuasa.

Bekas ketua Pemuda PKR itu yang pernah dilantik sebagai senator oleh Barisan Nasional, berkata Mahathir perlu “menghentikan cara lama, menjadi seorang negarawan dan meletakkan kepentingan negara terlebih dahulu”.

“Beliau tahu apa yang dilakukannya, kita juga tahu apa yang beliau buat. Beliau perlu berhenti bermain dengan kuasa. Ini ialah peralihan kuasa perdana menteri. Ini bukan hanya peralihan kuasa untuk mana-mana jawatan.

“Itu sebabnya perlu ada perancangan. Ia perlu berjalan lancar. Kata kunci ialah lancar dan kita tidak melihat kelancaran dan ini menjejaskan ekonomi. Jadi, Mahathir tolonglah buat perkara betul,” katanya dalam satu himpunan anjuran kumpulan pro-Anwar, Otai Reformis malam tadi.

Ezam kemudiannya memberitahu FMT, ada petanda jelas Mahathir kembali kepada “cara diktatornya” dan rasa tidak puas hati rakyat disuarakan melalui kekalahan teruk Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai.

Bagaimanapun, katanya, mesej itu tidak diendahkan.

Ezam antara penyokong setia Anwar yang memainkan peranan penting dalam penubuhan PKR, tetapi beliau kembali ke pangkuan Umno pada 2008 kerana tidak sebulu dengan Anwar dan kepimpinan PKR.

Beliau ialah ahli PPBM sebelum meninggalkan parti itu kira-kira 3 bulan kemudian.

Ditanya kenapa Otai Reformis mengabaikan hasrat Anwar untuk tidak membangkitkan isu peralihan kuasa, Ezam berkata, Anwar mungkin mempunyai alasan tersendiri membuat kenyataan itu kerana beliau sebahagian daripada parti pemerintah.

Bagaimanapun, katanya, rakyat juga mempunyai alasan mereka untuk membangkitkan isu itu dan “Anwar juga perlu menghormati dan memberi peluang kepada rakyat untuk menyuarakan pendapat mereka”.