KUALA BERANG : Tun Dr Mahathir Mohamad perlu berundur bagi menyelesaikan kemelut politik, sekali gus menerima hakikat Tan Sri Muhyiddin Yassin dipilih menjadi Perdana Menteri kelapan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, berkata Dr Mahathir sudah dua kali menjawat jawatan Perdana Menteri dan sudah sampai masanya mengundurkan diri, apatah lagi sebelum ini menyatakan kesediaan untuk menerima sesiapa sahaja sebagai Perdana Menteri.

“Saya harap Tun (Dr Mahathir) berjiwa besar. Kalau Tun menarik diri, selesai masalah. Kalau tidak, saya ingat negara kita akan bercelaru dan memalukan. Mungkin akan jadi kerajaan sementara, sekejap sahaja.

“Kalau dikira alternatif, memang Muafakat Nasional harap bubar sahaja Parlimen tetapi bila ada alternatif untuk menyelamatkan kewangan negara dan sebagainya, kita bersedia bekerjasama dengan Muhyiddin untuk menjadi Perdana Menteri.

“Ini demi kepentingan rakyat, kalau diadakan pilihan raya umum (PRU) berapa banyak lagi yang terpaksa dibelanjakan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong di Felcra Bukit Kapah di sini malam tadi.

Ahmad yang juga bekas Menteri Besar Terengganu percaya Dr Mahathir didesak pihak tertentu yang mempunyai agenda tersendiri sehingga menyebabkan pemimpin itu kembali untuk menjadi Perdana Menteri semula.

Sehingga malam tadi, pihaknya mendapat maklumat Pakatan Harapan (PH) mendakwa mempunyai jumlah mencukupi untuk Dr Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri, sekali gus menimbulkan pelbagai persoalan bagaimana PH mendapat tambahan sokongan.

“Setelah kita lihat permainan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden PKR) yang gagal mendapatkan undi majoriti, dia (Anwar) patah balik supaya menyokong Tun.

“Saya percaya Anwar akan menggunakan apa juga kaedah termampu dengan DAP sebab tengok yang dulu sokong Muhyiddin, sekarang sokong Tun dan saya percaya tak mustahil kemungkinan berlaku ada Ahli Parlimen buat dua SD (akuan bersumpah).

“Ini mungkin berlaku. Takkan Tuanku nak panggil sekali lagi seorang demi seorang Ahli Parlimen,” katanya.

Mengulas mengenai perlantikan Muhyiddin, Ahmad percaya Presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) itu dapat menjalankan amanah dengan sebaik mungkin.