KUALA LUMPUR : Mohamad Ezam Mohd Nor menggesa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang disifatkannya sebagai “reformis palsu”, untuk berhenti “menipu” rakyat.

Dalam kenyataan media hari ini, bekas setiausaha politik Presiden PKR Anwar Ibrahim itu berkata, Dr Mahathir perlu berhenti daripada membuat “kenyataan palsu” di pentas dunia bagi mengambarkan diri sebagai pejuang keadilan.

“Dr Mahathir jelas gagal mempertahankan prinsip dan semangat reformasi sama ada secara sengaja atau tidak.

“Dan atas semangat dan prinsip reformasi dan demi kelangsungan hidup rakyat miskin yang semakin terhimpit saya menyarankan agar Dr Mahathir berhenti daripada jawatan PM dalam kadar segera agar proses reformasi sebenar boleh dilaksanakan tanpa tangguh lagi,” katanya.

Ezam membuat kenyataan itu sebagai sokongan kepada pengasas PKR Syed Husin Ali yang membidas keengganan Dr Mahathir untuk menyatakan dengan jelas garis masa bagi menyerahkan jawatan PM kepada Anwar seperti dipersetujui PH sebelum ini.

Ezam yang juga merupakan bekas ketua Pemuda PKR (AMK) menyifatkan kenyataan Syed Husin sebagai peringatan yang jelas kepada para reformis supaya tidak menggunakan alasan berada dalam untuk tidak melaksanakan perubahan dan reformasi di dalam negara.

“Syed Husin mempunya asas moral untuk memberi teguran keras ini. Beliau pelopor sebuah perjuangan rakyat yang panjang. Menjadi korban dan mangsa regim zalim. Pernah hilang hak meneruskan kerjaya mendidik sesuai kelayakannya yang cemerlang dan pernah dihumban dan meringkuk bertahun-tahun di dalam penjara.

“Saya mendokong penuh kenyataan beliau. Sebagai seorang yang pernah memainkan peranan kecil di awal era reformasi saya dan ramai sahabat-sahabat seperjuangan dapat merasakan kebimbangan dan keprihatinan Syed Husin di dalam memastikan agenda reformasi terus dijulang di negara ini…

“Saya menyeru seluruh jiwa yang benar-benar menghayati semangat dan prinsip reformasi ini bangkit mendokong kenyataan dan peringatan Syed Husin ini demi memastikan semangat dan cita-cita murni dan sebenar reformasi dan islah ini tidak dikhianati dan dirompak oleh kalangan mereka yang mengaku kononnya mahu melakukan reformasi tetapi sebenarnya sama sekali tidak berbeza dengan agenda musuh-musuh reformasi dan islah itu sendiri,” katanya.

Kenyataan Syed Husin hadir selepas Dr Mahathir berkata dia akan kekal sebagai perdana menteri paling lama tiga tahun.

Dalam temu bual Bloomberg baru-baru ini, Anwar berkata beliau menjangkakan akan menggantikan Dr Mahathir tahun depan.