PUTRAJAYA: Dr Mahathir Mohamad mengesahkan menulis surat awal tahun ini kepada menteri dalam negeri pada waktu itu Muhyiddin Yassin meminta Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dikeluarkan daripada senarai pertubuhan pengganas.

Bekas perdana menteri itu bagaimanapun menafikan surat itu menandakan beliau menyokong LTTE, sebaliknya menolak tindakan yang diambil ke atas beberapa individu sewaktu Pakatan Harapan (PH) memerintah.

“Saya nak tekankan bahawa kita tak perlu cari masalah. Kenapa kita nak cari masalah? Masalah itu berlaku kerana Sri Lanka, bukan kita. Tak payahlah kita ambil tindakan macam itu, melainkan kalau dia ada buat benda-benda tak baik di Malaysia.

“Sudah tentu saya bukan kata Hamas itu pengganas, tetapi Hamas ditakrif sebagai pengganas oleh Amerika. Dunia cakap Hamas ini pengganas.

“Kalau dia pengganas, kenapa saya jumpa ketua Hamas (Ismail Haniyeh)? Dia datang jumpa saya. Dia kawan dengan saya, takkan saya nak kata dia pengganas,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Surat bertarikh 12 Februari itu tular baru-baru ini, yang menyaksikan Mahathir memberitahu Muhyiddin bahawa beliau tidak fikir LTTE harus terus disenaraikan sebagai pertubuhan pengganas kerana Sri Lanka sendiri tidak menganggap demikian.

“Kita anggap Hamas sebagai ‘terrorist’, tetapi membenarkan mereka masuk Malaysia.

“Saya fikir eloklah jika dikeluarkan LTTE dari senarai ‘terrorist’. Dengan itu perbicaraan di mahkamah boleh dilakukan tanpa menyekat jaminan semasa perbicaraan,” menurut surat yang ditandatangani oleh Mahathir itu.

Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma melarang individu yang didakwa diberikan ikat jamin selepas mereka didakwa melakukan kesalahan keselamatan.

12 individu ditahan di bawah Sosma pada Oktober 2019 kerana didakwa mempunyai hubungan dengan LTTE, iaitu sebuah pertubuhan bersenjata yang berjuang bagi mewujudkan sebuah negeri Tamil yang merdeka di Sri Lanka.

Individu terbabit, termasuk 2 ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mewakili DAP menafikan terlibat dengan LTTE dengan berkata, bendera, poster dan gambar yang ditemui dalam milikan mereka hanya melambangkan simpati kepada minoriti Tamil di Sri Lanka.

Pada Februari peguam negara ketika itu Tommy Thomas memutuskan untuk menggugurkan pertuduhan terhadap 12 individu terbabit dengan berkata, “tiada prospek realistik” untuk sabitan mereka di bawah mana-mana daripada 34 pertuduhan yang dikenakan.

Antara 60,000 hingga 100,000 etnik Tamil terkorban dalam perang saudara selama 27 tahun di Sri Lanka, menurut angka yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Polis sebelum ini berkata, LTTE diklasifikasikan sebagai pertubuhan pengganas di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amla). -FMT