KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menyifatkan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri interim memanggil sidang Parlimen untuk memilih Perdana Menteri mencabar hak dan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Menerusi kenyataan lima perenggan malam ini, Majlis Presiden PH berpendirian bahawa adalah tidak wajar untuk Perdana Menteri interim mendahului titah Yang di-Pertuan Agong dalam hal berkenaan.

Kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat tergempar Majlis Presiden PH itu menegaskan umum sedia maklum bahawa Yang di-Pertuan Agong dijadualkan bertemu dengan Raja-Raja Melayu untuk membincangkan perkara ini.

“Majlis Presiden menggesa semua pihak untuk menghormati budi bicara dan wewenang Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam hal ini,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menjelaskan pendirian Majlis Presiden PH bahawa hak dan kuasa melantik seorang Perdana Menteri terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong, seperti yang termaktub di bawah Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu Dr Mahathir pada sidang media selepas membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 hari ini, berkata sidang khas Dewan Rakyat pada 2 Mac ini akan memilih Perdana Menteri yang baharu.

Perdana Menteri interim dilaporkan berkata, Yang di-Pertuan Agong tidak menemui mana-mana individu memperoleh majoriti yang jelas untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu. -BH